
TIDAK LENGKAP rasanya mengunjungi Kota Mekah tanpa melihat tempat-tempat bersejarah berkenaan Rasulullah SAW serta perjuangan suci baginda. Dengan izin Allah SWT, jemaah umrah MKD Edisi Ke-3 telah mengunjungi lokasi-lokasi di sekitar kota Makkah, termasuklah Jabal Thur dan Jabal Rahmah.
Bukit Thur menyimpan kisah agung tentang ketabahan dan pengorbanan Rasulullah SAW. Di sinilah baginda bersama sahabat setianya, Saidina Abu Bakar As-Siddiq, berlindung daripada satu kafir Quraisy yang berniat membunuh baginda. Peristiwa persembunyian ini bukan sekadar usaha menyelamatkan nyawa baginda, tetapi juga demi memastikan kesinambungan risalah Islam yang mulia.
Seterusnya, para jemaah meneruskan perjalanan ke Jabal Rahmah, yang menyaksikan tiga peristiwa besar dalam sejarah Islam. Di sinilah, Nabi Adam AS dan Siti Hawa dipertemukan, setelah dikeluarkan dari syurga dan turun ke bumi. Bertahun-tahun mereka bermunajat, memohon keampunan dari Allah SWT di sini.
Di Jabal Rahmah juga, Nabi Ibrahim AS menerima mimpi menyembelih puteranya, Nabi Ismail AS, sebagai satu perintah dari Allah. Jabal Rahmah terletak di kawasan Padang Arafah, tempat turunnya wahyu terakhir kepada Rasulullah SAW.
Selepas mengunjungi kedua-dua lokasi, para jemaah bersiap sedia untuk menunaikan umrah kedua mereka di Masjidil Haram. Alhamdulillah, segala urusan mereka dipermudahkan dan berjalan dengan lancar.
Semoga segala ibadah yang dilaksanakan diterima oleh Allah SWT dan segala hajat dan doa mereka dimakbulkan. InsyaAllah.